Nuffnang Adds

Saturday 7 May 2011

Pas satu parti atau agama baru?




SEDIH apabila melihat orang-orang yang  mendakwa dirinya kuat agama tetapi  mempolitikkan  agama suci Islam dengan tujuan  politik.

Contohnya, setiap kali musim pilihan raya, bagi  meraih undi, Pas mendakwa sesiapa yang tidak  mengundi parti itu akan masuk neraka.

Bermacam-macam lagi ajaran dan tafsiran yang  tidak mengikut ajaran Islam dikembangkan oleh  Pas dan diterima hanya kerana parti ini  menggunakan perkataan Islam dalam namanya.

Sokong UMNO kafir, tak bau syurga jika undi calon  UMNO dan perlu dikaji mana yang benar dan mana  yang palsu.

Sebenarnya  rancangan awal penubuhan PAS  adalah ditimbulkan oleh sebahagian besar ahli-ahli  agama di dalam UMNO semasa berlangsungnya  Muktamar Ulama Ketiga di Bangunan Kelab  UMNO Bagan, Butterworth.

Tetapi semua itu telah dilupakan oleh generasi  baru hari ini yang lebih mahu mendengar  pembohongan berbanding fakta sejarah  sebenar.

Sebelum pergi lebih jauh, mari kita teliti makna  Islam yang hakiki.

Islam  bermaksud tunduk dan patuh kepada  perintah Maha Pemerintah dan larangan Nya  tanpa bantahan.

Dinamakan agama ini dengan Islam kerana ia  mengajarkan kepatuhan kepada Allah dan tunduk  kepada perintah-Nya tanpa membantah.

Jika kita patuh kepada perintah Allah dan  meninggalkan larangan-Nya tiada sebab kita perlu  takut dikafirkan oleh pihak yang tidak  bertanggungjawab.

Islam tidak pernah menyatakan belajar Sains dan  Matematik mesti dalam bahasa Inggeris, atau  Melayu, atau Arab atau sebagainya.

Islam hanya memerintahkan umatnya agar  bertindak dengan bijak sementara menentukan  perkara yang seperti ini amat subjektif.

Agama Islam perlu dibezakan antara sebagai  prinsip atau sebagai alat.

Islam sebagai prinsip bererti meletakkan Islam  sebagai pegangan dan panduan.

Salah atau benar sesuatu dinilai berdasarkan  prinsip Islam.

Kita akan menilai dengan adil setiap perkara  dengan timbangan Islam sekalipun jika  keputusannya itu tidak berpihak kepada kita, kita  tetap akan akur.

Inilah yang disebut oleh Al-Quran dalam Surah  al-Nisa, ayat ke-135 yang bermaksud  “Wahai  orang-orang yang beriman! hendaklah kamu  menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan  keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan  kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri  kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat  kamu”.

Menjadikan Islam sebagai alat atau umpan pula  ialah mempergunakan Islam sebagai bahan untuk  sesuatu tujuan, padahal tujuan tersebut hanya  bersifat puak atau peribadi, bukan untuk  kepentingan Islam yang hakiki.

Ataupun agama digunakan agar orang ramai  tertarik dan percaya kepadanya sekalipun hakikat  agama bukan sedemikian rupa.

Inilah yang ditempelak oleh Allah SWT dalam  Surah al-Nahl, ayat 116-117 yang membawa  maksud  “Dan janganlah kamu berkata dengan apa  yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini  haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang  dusta terhadap Allah; Sesungguhnya orang-orang  yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.  (Mereka hanya mendapat) sedikit kesenangan (di  dunia), dan mereka pula akan beroleh azab seksa  yang tidak terperi sakitnya.”

Malang sekali dalam sejarah umat Islam,  kecenderungan menggunakan agama sebagai  modal begitu banyak dan berterusan.


Kenapa ada pihak yang mudah terpengaruh  dengan dakwaan yang sesat lagi menyesatkan  itu?

Tidak tahukah apa itu Islam? Adakah orang bukan  Islam yang menyokong PAS akan masuk syurga?

Bermusuh sesama umat Islam adakah tidak  berdosa? Ajaran apa yang menghalalkan  permusuhan sesama Islam?

Sesat itulah rumusan yang boleh dibuat. Ayah Pin  pun lebih baik kerana dia tidak mempengaruhi  pengikutnya untuk bermusuh dengan orang  Islam.

Jangan menjadi buta dengan penampilan  seseorang yang pandai bermain ayat Al - Quran  tetapi bertindak mengikut hawa nafsu  semata-mata.

Kembalilah wahai umat Islam yang terlalu taksub  dengan pemimpin yang salah kerana taksub itu  berdosa.

Sedangkan kita tidak boleh taksub akan Nabi  Muhammad SAW lagi Rasul, inikan pula taksub  kepada pemimpin yang baru belajar sedikit  tentang agama.

Keadaan dan sejarah menunjukkan bahawa  apabila agama digunakan sebagai asas  perjuangan politik dan ditokok-tambah dengan  nama agama diberikan kepada parti politik, maka  rusuhan akan berlaku walaupun antara penganut  agama yang sama.

Lebih menyedihkan ialah rusuhan berlaku lebih  kerap di kalangan penganut agama Islam  berbanding umat agama lain.

Jangan mudah tertipu dan menjadi tunggangan  mereka yang mempermainkan agama sebagai  modal politik kerana kesannya amat bahaya.

Golongan ini sesungguhnya sudah terpesong jauh  dari akidah sebenar.

Diharapkan orang ramai tidak mudah diperdaya  dengan mereka-mereka yang bersenjatakan ayat  Quran dan kopiah lusuh kerana mereka ini yang   akan membawa kepada perpecahan umat Islam.

No comments:

Post a Comment