Perkasa gesa polis siasat laporan dua blog
TUMPAT 7 Mei - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa polis menjalankan siasatan terperinci dengan segera mengenai laporan berhubung wujud gerakan untuk menjadikan Kristian sebagai agama Persekutuan.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan itu perlu dilakukan kerana ia menyentuh isu sensitif yang boleh mengancam ketenteraman awam dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, sebanyak 10 laporan polis telah dibuat oleh Perkasa negeri dan daerah di seluruh negara untuk menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan segera.
"Kita tidak tahu benar atau tidak laporan yang dibuat oleh kedua-dua blog itu, jadi kita minta polis menjalankan siasatan. Jika benar seperti laporan itu maka tindakan perlu diambil, jika tidak tindakan perlu diambil ke atas penulis blog kerana ia membabitkan isu keselamatan negara," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Sementara itu, di Pulau Pinang, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Aminah Abdullah berkata, tindakan Lim Guan Eng membenarkan penganjuran majlis pertemuan paderi dari seluruh negara didakwa satu taktik beliau untuk meraih sokongan penganut Kristian di negeri ini.
Katanya, rancangan itu sememangnya sudah boleh dijangka sebagai antara usaha Ketua Menteri Kerajaan DAP Pulau Pinang itu untuk memperkukuh dan mengekalkan kuasa politik dinasti Lim di negeri tersebut.
Menurut Presiden Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM) itu, pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga menggunakan sentimen perkauman 1Cina sebagai taktik untuk meraih keuntungan politik.
''Saya tidak terkejut dengan apa yang dilakukannya (Lim Guan Eng) dan ayahnya (Lim Kit Siang) kerana kita tahu matlamat sebenar adalah untuk kekalkan kuasa politik dinasti Lim di Pulau Pinang. Ini cara yang sama diguna pakai oleh Lee Kuan Yew di Singapura
''Tapi, saya ingin ingatkan mereka berdua, jangan ingat semua orang bodoh kerana rakyat sudah tahu apa sebenarnya yang mereka mahukan," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Badan Perhubungan UMNO negeri meminta polis menyiasat pendedahan tersebut.
Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, sebagai parti yang mewakili orang Melayu dan umat Islam yang cintakan keamanan, ketenteraman, kebebasan beragama dan muafakat antara semua kaum, UMNO berharap perkara itu tidak benar.
Katanya, polis diharap menyegerakan siasatan terhadap laman blog itu bagi mencari kebenaran berita yang dilaporkan kerana ia mempunyai nilai sensitiviti yang tinggi.
No comments:
Post a Comment